SATU hari, Umar Al-Khattab keluar bersama pembantunya, Aslam bagi meninjau keadaan rakyatnya. Sampai di satu kawasan, Umar ternampak cahaya api di tengah kegelapan malam yang sejuk. Mereka pun mendekati kawasan tersebut. Kelihatan seorang ibu sedang memasak sesuatu. Anaknya pula sedang menangis.
Umar memberi salam dan meminta izin: "Boleh aku datang dekat?". "Datanglah dengan kebaikan atau tinggalkan sahaja kami di sini", jawab ibu tersebut. Umar bertanya: "Bagaimana keadaan kamu semua?". "Kami sedang menghadapi waktu malam dan kesejukan", balas si ibu.
"Mengapa anakmu menangis?", tanya Umar. "Mereka lapar", ibu menjawab. "Apa yang kamu sedang masak?", Umar terus mendapatkan kepastian. "Hanyalah air yang aku kacau-kacau sehinggalah anakku keletihan dan terus tidur, dan demi ALLAH SWT apa yang ada di antara kami dan Umar", ibu memberi jawapan sedih.
Sebenarnya, dalam kegelapan malam tersebut, si ibu tidak perasan lelaki yang bercakap dengannya adalah Umar Al-Khattab. Mungkin juga beliau tidak pun mengenalinya, sekadar mendengar nama.
Umar bertanya: "Semoga ALLAH mengasihanimu. Adakah Umar tidak mengetahui keadaan kamu semua?"
"Dia memerintah urusan kami kemudian mengabaikan kami begitu sahaja", jawapan si ibu sungguh menyentak perasaan seorang khalifah.
Umar terus mengajak Aslam pulang. Beliau mengambil bekalan makanan untuk dibawa kepada wanita tadi. Umar berkata kepada Aslam: "Tolong angkat dan letakkan di atas bahuku". "Biarlah aku memikulnya", Aslam tidak sampai hati membiarkan Umar menanggung beban tersebut.
Jarak perjalanan ke tempat ibu itu agak jauh. Dengan tegas Umar membalas: "Adakah engkau mahu menanggung dosaku pada kiamat nanti?"
Aslam terpaku, akur mendengar jawapan Umar. Jawapan daripada pemimpin yang sentiasa memikirkan nasib dirinya di akhirat apabila diberi amanah menguruskan hal ehwal rakyat.
Bergeraklah mereka berdua ke tempat ibu tersebut. Berjalanlah seorang pemimpin membelah gelap malam dalam kesejukan sambil memikul seguni gandum bagi memenuhi keperluan rakyatnya.
Walaupun yang sedang menanggung keperitan hanyalah wanita yang tidak mempunyai kedudukan apa-apa. Tidak ternama. Tidak menjanjikan apa-apa habuan pun.
Umar lakukan semata-mata kerana sikap tanggungjawabnya. Pemimpin yang sentiasa ingat soal dosa dan pahala. Hanya kerana ALLAH!. Tidak perlu pengiring yang ramai. Tiada liputan. Tiada perlu sambutan besar-besaran.
Berjalan menyantuni nasib seorang rakyat yang bergelut dengan keperitan hidup. Umar yakin, walaupun hanya seorang, tetapi ia tetap dipersoalkan di akhirat kelak. Bayangkan jika satu negara mengeluh resah menghadapi beban keperitan hidup mereka.
Umar bersama Aslam tidak hanya menghantar bekalan makanan kepada ibu tersebut, bahkan Umar memasaknya. Beliau sendiri yang meniupkan api dan mengacau sehingga masak. Lalu diberikan kepada si ibu untuk dihidangkan kepada anak-anaknya.
Tersentuh dengan tindakan Umar, wanita tersebut yang belum menyedari itulah khalifah terus berkata: "Semoga ALLAH membalas kebaikan, apa yang telah engkau lakukan ini lebih utama daripada Amir Al-Mukminun".
Umar membalas: "Ucapkanlah yang baik-baik dan sekiranya engkau bertemu dengan Amir Al-Mukminin, engkau akan dapati aku juga di sana, insya-ALLAH". Kemudian mereka pun berpaling dan mula untuk beredar.
Aslam bertanya kepada Umar: "Apakah engkau ada urusan lain selain daripada ini?". Umar berdiam tidak bercakap sehinggalah beliau mendapati anak-anak tadi kenyang dan dapat tidur dengan tenang.
Lalu Umar berkata: "Wahai Aslam, sesungguhnya kelaparan telah membuatkan mereka berjaga malam tidak dapat tidur dan menangis. Aku tidak akan beredar sehinggalah aku dapat melihat apa yang telah aku lihat tadi". (Lihat: Tarikh Al-Tabari, 4/205)
Pada tahun 17 dan 18 Hijrah, Madinah dilanda kemarau. Kehidupan rakyat susah. Bekalan makanan berkurangan di pasar. Ibn Jarir Al-Tabari meriwayatkan pada tahun berkenaan Umar tidak memakan lemak haiwan, susu dan daging sehingga rakyat dapat memakannya.
Suatu hari pekerjanya membeli lemak dan susu dengan harga yang tinggi. Umar menolak untuk makan, katanya: "Engkau menyebabkan lemak dan susu jadi mahal, sedekahkan keduanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak menimpaku apa yang menimpai mereka?". (Al-Tabari, 2/358, Beirut: Dar al-Fikr)
Juga diriwayatkan, suatu hari pada tahun berkenaan disembelih unta lalu dimasak dan dibahagikan kepada orang ramai. Lalu dicedok masakan itu untuk dihidangkan kepada Umar. Tiba-tiba yang dicedok itu bahagian belakang unta dan hatinya. Lalu Umar bertanya: "Dari mana diperoleh ini?". "Daripada unta yang kita sembelih hari ini".
Kata Umar: "Oh! Alangkah buruknya aku ini sebagai pemimpin, jika aku memakan bahagiannya yang baik lalu aku berikan rakyat makan sisa". (Ibn Sa'd, Al-Tabaqat Al-Kubra, 3/312, Beirut: Dar Sadir)
Dalam riwayat Abu Nu'aim dalam Hilyah Al-Auliya, Umar berkata: "Jika seekor kambing biri-biri mati tersesat jalan di tebing Sungai Furat, aku bimbang ALLAH akan bertanya aku pada hari kiamat mengenainya".
Bayangkan begitu sekali kebimbangan yang menyelimuti pemikiran seorang pemimpin. Bukan hanya prihatin dengan nasib rakyat di bawahnya. Bahkan, kepada haiwan juga. Apa yang akan dijawab di hadapan ALLAH nanti.
Ini hanyalah secebis kisah kegemilangan pemerintahan Umar Al-Khattab. Seorang pemimpin yang "walk the talk" dan "leading by example".
Beliau tidak hanya pandai bercakap berpesan itu dan ini kepada rakyat yang hidup susah, sedangkan hidupnya mewah. Beliau tidak bermanis mulut memberi nasihat agar berjimat cermat, tetapi beliau sendiri berbelanja bagai tidak ingat.
Tetapi, Umar benar-benar mendahulukan rakyat berbanding kesenangan hidupnya. Umar tidak hanya membaca ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW, tetapi Umar terlebih dahulu memastikan pemerintahannya dan juga gabenor serta pegawai di bawahnya menguruskan pentadbiran dan harta negara selaras dengan al-Quran dan hadis Nabi SAW.
Umar pernah menulis surat kepada gabenornya Abu Musa Al-Asy'ari RA, antara isinya: "Sesungguhnya pemimpin yang paling bahagia ialah mereka yang menyebabkan rakyatnya bahagia, dan pemimpin yang paling celaka ialah yang menyebabkan rakyatnya celaka. Jaga-jaga engkau jangan bermewah-mewahan, nanti pegawaimu juga akan bermewah-mewahan". (Musannaf Abi Syaibah, 8/147)
Tidak dapat digambarkan perasaan rakyat jelata di bawah pemerintahan Umar yang adil, amanah dan prihatin. Masihkah kita berpeluang mengacapi nikmat yang sama? Memang tidak akan sama, namun cukuplah walau sekelumit saja. Dalam keadaan ada jiwa yang resah hadapi kehidupan yang susah, perasaan tertekan menanggung beban, tubuh menggeletar akibat lapar, mungkin ada yang bertanya "di mana Umar?
No comments:
Post a Comment
Terima kasih kerana meninggalkan ulasan anda di sini.
Semoga kita akan bertemu lagi nanti.
insyaAllah.
aamiin.