TERMA PENGGUNAAN
Kemas kini terakhir:: 7 December, 2016
1. Hubungan Kontrak
Terma Penggunaan ini ( "Terma") merupakan suatu perjanjian undang-undang yang mengawal akses atau penggunaan aplikasi mobil Uber Dost ("Perkhidmatan"). Terma ini adalah di antara anda sebagai individu yang mengakses atau menggunakan Perkhidmatan dalam Malaysia ("anda"), dengan Uber B.V. ( "Uber"). SILA BACA SYARAT DI BAWAH DENGAN TELITI SEBELUM MENGAKSES ATAU MENGGUNAKAN PERKHIDMATAN. Dalam Perjanjian ini, perkataan "termasuk" bermaksud "termasuk, tetapi tidak terhad kepada."
Akses dan penggunaan Perkhidmatan oleh anda merupakan persetujuan anda untuk terikat dengan Terma ini. Jika anda tidak bersetuju dengan Terma ini, anda tidak boleh mengakses atau menggunakan Perkhidmatan itu. Terma ini secara nyata menggantikan perjanjian atau perkiraan sebelumnya dengan anda berkenaan dengan Perkhidmatan. Uber boleh menamatkan dengan serta-merta Terma dan Perkhidmatan yang berkenaan dengan anda, atau secara amnya berhenti menawarkan atau menafikan akses kepada Perkhidmatan atau mana-mana bahagian daripadanya, pada bila-bila masa.
Uber boleh meminda Terma yang berkaitan dengan Perkhidmatan dari semasa ke semasa. Pindaan akan berkuat kuasa apabila pencatatan Uber terhadap Terma yang telah dikemas kini di lokasi ini atau dalam Perkhidmatan itu. Akses atau penggunaan anda yang berterusan ke atas Perkhidmatan itu selepas pencatatan tersebut merupakan persetujuan anda untuk terikat dengan Terma, sebagaimana yang dipinda.
Dasar Privasi Uber yang terdapat di https://www.uber.com/legal/privacy/users/en terpakai pada penggunaan Perkhidmatan, dan dijadikan sebahagian daripada Terma melalui rujukan ini, walau apa pun apa-apa kenyataan yang bertentangan dengan Dasar Privasi.
2. Perkhidmatan
Lesen. Tertakluk kepada pematuhan anda terhadap Terma ini, Uber memberi anda lesen yang terhad, tidak eksklusif, tidak boleh disublesenkan, boleh dibatalkan, tidak boleh dipindah milik untuk mengakses dan menggunakan Perkhidmatan pada peranti peribadi anda semata-mata untuk kegunaan peribadi anda dan bukan penggunaan komersial. Anda bersetuju untuk tidak menggunakan Perkhidmatan itu untuk apa-apa tujuan lain. Apa-apa hak yang tidak diberi secara nyata di dalam Terma ini adalah terpelihara oleh Uber dan pemberi lesen Uber.
Sekatan. Anda tidak boleh: (i) menghapuskan apa-apa hak cipta, tanda dagangan atau notis proprietari lain daripada mana-mana bahagian Perkhidmatan; (ii) mengeluarkan semula, mengubahsuai, menyediakan kerja-kerja berasaskan terbitan, mengedar, melesenkan, memajak, menjual, menjual semula, memindahkan (transfer), mempamerkan kepada tatapan umum, membuat persembahan awam, memindahkan (transmit), memancarkan, menyiarkan atau dengan cara lain mengeksploitasi Perkhidmatan kecuali dibenarkan secara nyata oleh Uber; (iii) menguraikan, merekayasa secara terbalik atau merungkas Perkhidmatan kecuali sebagaimana yang dibenarkan oleh undang-undang yang terpakai; (iv) menyebabkan atau melancarkan apa-apa program atau skrip untuk tujuan mengikis, mengindeks, meninjau, atau sebaliknya melombong data mana-mana bahagian Perkhidmatan atau terlalu membebankan atau menghalang operasi dan / atau kefungsian mana-mana aspek Perkhidmatan; atau (v) mencuba untuk mendapatkan akses yang tidak sah kepada atau menjejaskan mana-mana aspek Perkhidmatan atau sistem atau rangkaian yang berkaitan.
Perkhidmatan Pihak Ketiga dan Kandungan. Perkhidmatan itu boleh disediakan atau diakses berkaitan dengan perkhidmatan pihak ketiga dan kandungan (termasuk pengiklanan) yang tidak dikawal oleh Uber. Anda mengakui bahawa penggunaan terma dan polisi privasi yang berbeza boleh terpakai pada penggunaan anda terhadap perkhidmatan pihak ketiga dan kandungan tersebut. Uber tidak menyokong perkhidmatan pihak ketiga dan kandungan tersebut dan dalam apa keadaan pun Uber tidak akan bertanggungjawab terhadap apa-apa produk atau perkhidmatan yang disediakan oleh pembekal pihak ketiga tersebut. Selain itu, Apple Inc dan Google, Inc. akan menjadi benefisiari pihak ketiga kepada kontrak ini jika anda mengakses Perkhidmatan melalui iOS Apple atau peranti mobil yang diperkasakan oleh Android masing-masingnya. Benefisiari pihak ketiga ini tidak menjadi pihak kepada kontrak ini dan tidak bertanggungjawab terhadap penyediaan atau sokongan kepada Perkhidmatan dalam apa-apa cara sekalipun. Akses anda kepada Perkhidmatan dengan menggunakan peranti ini adalah tertakluk kepada terma yang dinyatakan dalam terma perkhidmatan benefisiari pihak ketiga yang berkenaan.
Pemilikan. Perkhidmatan dan semua hak dalam Perkhidmatan itu adalah dan hendaklah kekal menjadi harta Uber atau harta pemberi lesen Uber. Baik Terma ini mahupun penggunaan Perkhidmatan oleh anda tidak memindahkan atau memberi anda apa-apa hak: (i) dalam atau berkaitan dengan Perkhidmatan kecuali lesen terhad yang diberikan di atas; atau (ii) menggunakan atau merujuk dalam apa-apa cara sekalipun nama syarikat, logo, nama produk dan perkhidmatan, tanda dagangan atau tanda perkhidmatan Uber atau pemberi lesen Uber.
3. Penggunaan Perkhidmatan oleh Anda
Akaun Pengguna. Untuk menggunakan kebanyakan aspek perkhidmatan, anda perlu mendaftar dan mengekalkan keaktifan akaun Perkhidmatan pengguna peribadi ("Akaun"). Anda mesti berusia sekurang-kurangnya 18 tahun, atau berumur majoriti menurut undang-undang di kawasan anda (jika lebih tua daripada 18), untuk mendapatkan Akaun. Pendaftaran akaun memerlukan anda untuk mengemukakan maklumat peribadi tertentu kepada Uber, seperti nama, alamat, alamat e-mel, nombor telefon bimbit dan umur, serta maklumat perbankan anda. Anda bersetuju untuk menyenggarakan maklumat yang tepat, lengkap dan yang dikemas kini pada Akaun anda. Kegagalan anda untuk menyelenggarakan maklumat Akaun anda dengan tepat, lengkap dan yang dikemas kini boleh menyebabkan ketidakupayaan anda untuk mengakses dan menggunakan Perkhidmatan atau penamatan Terma ini oleh Uber dengan anda. Anda bertanggungjawab terhadap semua aktiviti yang berlaku di bawah Akaun anda, dan anda bersetuju untuk menyenggarakan keselamatan dan kerahsiaan nama pengguna dan kata laluan Akaun anda pada setiap masa. Melainkan jika dibenarkan oleh Uber secara bertulis, anda hanya boleh mempunyai satu Akaun.
Keperluan dan Tingkah Laku Pengguna. Perkhidmatan tidak tersedia untuk digunakan oleh orang yang berumur 18 tahun ke bawah atau di bawah yang berumur majoriti menurut undang-undang di kawasan anda (jika lebih tua daripada 18). Anda tidak boleh membenarkan pihak ketiga untuk menggunakan Akaun anda, dan anda tidak boleh menyerahhakkan atau dengan cara lain memindahkan Akaun anda kepada mana-mana orang atau entiti lain. Anda bersetuju untuk mematuhi semua undang-undang yang terpakai apabila menggunakan Perkhidmatan, dan anda hanya boleh menggunakan Perkhidmatan itu untuk tujuan yang sah. Dalam keadaan tertentu, Uber mungkin menghendaki anda untuk menyediakan bukti identiti untuk mengakses atau menggunakan Perkhidmatan itu, dan anda bersetuju bahawa anda boleh dinafikan akses atau penggunaan Perkhidmatan jika anda enggan memberikan bukti identiti. Melalui Perkhidmatan itu, anda boleh memilih untuk berkongsi dengan Uber maklumat data peribadi pihak ketiga yang tertentu, termasuk, tanpa had, nama pertama dan nama terakhir, alamat e-mel, alamat pos, dan nombor telefon (setiap perkara di atas, "Maklumat Hubungan"). Anda dengan ini memberikan representasi dan waranti bahawa (i) anda telah mendapatkan keperluan kebenaran yang dikehendaki di bawah undang-undang yang terpakai secara langsung daripada setiap individu yang Maklumat Hubungan mereka anda kongsikan, dan anda mendapatkan kebenaran untuk anda memindahkan Maklumat Hubungan kepada Uber daripada setiap individu yang Maklumat Hubungan mereka anda kongsikan; (ii) anda mempunyai apa-apa hak, lesen, kebenaran dan pelepasan lain yang dikehendaki di bawah undang-undang terpakai untuk berkongsi Maklumat Hubungan dengan Uber, termasuk, tanpa had, kebenaran yang dikehendaki di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 dan Undang-undang Tort; (iii) anda tidak akan berkongsi Maklumat Hubungan mana-mana individu di bawah umur 18 tahun, atau di bawah umur menurut undang-undang majoriti di kawasan mereka jika lebih tua daripada 18, (iv) perkongsian Maklumat Hubungan oleh anda tidak akan melanggar, menyalahgunakan, atau mencabul hak proprietari pihak ketiga, atau hak publisiti atau privasi, atau obligasi kerahsiaan, atau mengakibatkan apa-apa pelanggaran undang-undang atau peraturan yang terpakai, dan (v) setakat yang anda tahu, Maklumat Hubungan hendaklah tepat dan tidak mengelirukan. Anda akan segera memaklumi Uber jika mana-mana individu yang Maklumat Hubungan mereka anda kongsikan menarik balik kebenarannya untuk Uber menggunakan dan/atau memproses Maklumat Hubungan itu. Anda memahami dan bersetuju bahawa Uber boleh, mengikut budi bicara mutlaknya, menamatkan akses anda kepada Perkhidmatan atau menahan atau membatalkan pembayaran apa-apa jumlah yang mesti dibayar kepada anda di bawah Terma ini sekiranya (a) anda melakukan apa-apa aktiviti penipuan sebenar atau dicurigai melakukan apa-apa aktiviti penipuan atau berkaitan dengan penggunaan Perkhidmatan oleh anda, (b) anda melakukan apa-apa pencabulan sebenar atau dicurigai melakukan pencabulan terhadap undang-undang yang terpakai oleh anda atau berkaitan dengan penggunaan Perkhidmatan oleh anda, atau (c) anda melakukan apa-apa pencabulan sebenar atau dicurigai melakukan pencabulan terhadap Terma ini. Perkhidmatan ini tidak bertujuan untuk digunakan semasa pengendalian kenderaan.
Kandungan Yang Diberikan oleh Pengguna. Uber boleh, mengikut budi bicara mutlaknya, membenarkan anda dari semasa ke semasa untuk mengemukakan, memuat naik, menyiarkan atau dengan cara lain menyediakan kepada Uber melalui kandungan dan maklumat teks, audio, dan/atau visual Perkhidmatan, termasuk ulasan dan maklum balas yang berhubung dengan Perkhidmatan itu ("Kandungan Pengguna"). Apa-apa Kandungan Pengguna yang anda jana kekal menjadi harta anda. Walau bagaimanapun, dengan menjana Kandungan Pengguna kepada Uber, anda memberi Uber lesen secara global, selama-lamanya , tidak boleh ditarik balik, boleh dipindah milik, royalti percuma, dengan hak untuk mengeluarkan sublesen, untuk menggunakan, menyalin, mengubah suai, mencipta karya terbitan, mengedar, mempamerkan untuk tatapan umum, membuat persembahan awam, dan dengan cara lain mengeksploitasi Kandungan Pengguna tersebut dalam apa cara sekalipun dalam semua format dan saluran pengedaran yang diketahui kini atau dicipta kemudian daripada ini (termasuk berkaitan dengan Perkhidmatan itu dan perniagaan Uber serta pada laman sesawang dan perkhidmatan pihak ketiga), tanpa notis selanjutnya kepada atau persetujuan daripada anda, dan tanpa memerlukan pembayaran kepada anda atau mana-mana orang atau entiti lain.
Anda memberikan representasi dan waranti bahawa: (i) sama ada anda ialah pemilik tunggal dan eksklusif kepada semua Kandungan Pengguna atau anda mempunyai semua hak, lesen, kebenaran dan pelepasan yang diperlukan untuk memberi Uber lesen kepada Kandungan Pengguna seperti yang dinyatakan di atas; dan (ii) baik Kandungan Pengguna mahupun penyerahan, pemuatan naik, penyiaran oleh anda atau selainnya menyediakan Kandungan Pengguna tersebut mahupun penggunaan oleh Uber Kandungan Pengguna seperti yang dibenarkan di dalam Terma ini tidak akan melanggar, menyalahgunakan atau mencabuli harta intelek pihak ketiga atau hak proprietari atau hak publisiti atau privasi, atau menyebabkan pencabulan apa-apa undang-undang atau peraturan yang terpakai.
Anda bersetuju untuk tidak memberikan Kandungan Pengguna yang memfitnah, yang mengandungi libel, terkutuk, ganas, lucah, pornografi, menyalahi undang-undang, atau dengan cara lain menyakitkan hati, seperti yang ditentukan oleh Uber mengikut budi bicara mutlaknya, sama ada bahan tersebut mungkin dilindungi oleh undang-undang. Uber boleh, tetapi tidak berkewajipan untuk, mengkaji semula, memantau, atau menyingkirkan Kandungan Pengguna, atas budi bicara mutlaknya dan pada bila-bila masa dan untuk apa-apa sebab, tanpa notis kepada anda.
Akses Rangkaian dan Peranti. Anda bertanggungjawab untuk mendapatkan akses rangkaian data yang diperlukan untuk menggunakan Perkhidmatan itu. Kadar dan fi data rangkaian mobil anda mungkin dikenakan jika anda mengakses atau menggunakan Perkhidmatan itu daripada peranti tanpa wayar. Anda bertanggungjawab untuk mendapatkan dan mengemaskinikan perkakasan yang sesuai atau peranti yang diperlukan untuk mengakses dan menggunakan Perkhidmatan itu dan apa-apa kemas kini pada perkakasan atau peranti tersebut. Uber tidak menjamin bahawa Perkhidmatan itu, atau mana-mana bahagiannya, akan berfungsi pada mana-mana perkakasan atau peranti tertentu. Di samping itu, Perkhidmatan mungkin tertakluk pada kerosakan dan kelewatan yang wujud dalam penggunaan Internet dan komunikasi elektronik.
Mesej teks. Dengan membuka Akaun, anda bersetuju dan membenarkan bahawa walau apa pun apa-apa pendaftaran yang mungkin telah anda buat dengan National Do Not Call Registry / Daftar Keutamaan Pelanggan Negara, atau mana-mana pendaftaran yang sama, Perkhidmatan boleh menghantar mesej teks maklumat (SMS) kepada anda sebagai sebahagian daripada operasi perniagaan biasa penggunaan Perkhidmatan itu oleh anda. Anda boleh memilih untuk tidak menerima mesej teks (SMS) daripada Uber melalui fungsi "bantuan" di aplikasi. Anda mengakui bahawa memilih untuk tidak menerima mesej teks (SMS) boleh memberikan kesan kepada penggunaan Perkhidmatan itu.
4. Bayaran Rujukan
Rujukan. Melalui penggunaan Perkhidmatan itu, anda mungkin layak untuk menerima bayaran rujukan daripada Uber untuk rujukan sah bagi pemandu baharu yang bekerjasama dengan Uber di Malaysia ( "Rakan- Pemandu"), tertakluk kepada terma dan syarat (yang mungkin termasuk, tanpa had, bilangan minimum trip yang mesti dilengkapkan oleh Rakan Pemandu dalam jumlah masa yang maksimum selepas masa rujukan). Tanpa mengehadkan yang disebut sebelum ini, anda akan hanya layak untuk menerima bayaran rujukan untuk Rakan Pemandu yang menjadi Rakan Pemandu baharu kepada platform Uber dan Rakan Pemandu yang mula-mula anda rujuk kepada Uber melalui penggunaan sah Perkhidmatan itu oleh anda. Anda bersetuju bahawa Uber tidak bertanggungjawab terhadap apa-apa bayaran rujukan yang tidak dibayar kepada anda kerana kegagalan anda untuk menyediakan dan menyenggarakan maklumat Akaun anda dengan tepat, termasuk, tanpa had, maklumat perbankan yang tepat.
SuperDOST. Di bawah keadaan tertentu, anda boleh dijemput oleh Uber, mengikut budi bicara mutlaknya, untuk mengambil bahagian dalam suatu program yang boleh melibatkan anda berinteraksi dengan pengguna Perkhidmatan lain, yang disebut sebagai "Program SuperDOST". Penyertaan dalam Program SuperDOST adalah secara sukarela dan anda bertanggungjawab sepenuhnya untuk menentukan cara yang paling berkesan untuk mengambil bahagian dalam Program SuperDOST sekiranya anda memilih untuk berbuat demikian. Seterusnya, tidak ada fi penyertaan atau kemasukan untuk menyertai Program SuperDOST. Uber tidak, dan tidak boleh dianggap, mengarahkan atau mengawal anda secara am atau dalam pelaksanaan anda di bawah Perjanjian ini atau dalam Program SuperDOST.
Sekiranya anda bersetuju untuk mengambil bahagian dalam Program SuperDOST, anda mungkin layak untuk menerima bayaran tambahan tertentu daripada Uber untuk rujukan sah bagi Rakan Pemandu baharu yang diperkenalkan (tertakluk pada terma dan syarat ini) oleh mana-mana pengguna Perkhidmatan yang lain (terma dan syarat yang mengikut budi bicara mutlak anda). Apa-apa bayaran, termasuk jumlah tersebut, hendaklah tertakluk kepada budi bicara mutlak Uber.
Anda bersetuju dan mengakui bahawa Uber boleh, pada bila-bila masa, dan tanpa notis terlebih dahulu, membuat keputusan untuk tidak meneruskan program SuperDOST, atau mana-mana bahagiannya, atau untuk menarik balik atau menamatkan anda daripada menyertai program SuperDOST itu.
5. Penafian; Had Liabiliti;Tanggung Rugi.
PENAFIAN. PERKHIDMATAN ITU DISEDIAKAN "SEBAGAIMANA ADA" DAN "SEPERTIMANA YANG TERSEDIA". UBER MENAFIKAN, SETAKAT MAKSIMUM YANG DIBENARKAN OLEH UNDANG-UNDANG YANG TERPAKAI, SEMUA REPRESENTASI DAN WARANTI, YANG NYATA, TERSIRAT ATAU BERKANUN, YANG TIDAK DINYATAKAN DALAM TERMA INI, TERMASUK WARANTI KEBOLEHDAGANGAN YANG TERSIRAT, WARANTI KESESUAIAN UNTUK TUJUAN TERTENTU DAN WARANTI TIADA PELANGGARAN. TAMBAHAN LAGI, UBER TIDAK MEMBUAT REPRESENTASI, WARANTI ATAU JAMINAN BAHAWA PERKHIDMATAN ITU TIDAK AKAN TERGANGGU ATAU BEBAS RALAT. ANDA BERSETUJU BAHAWA RISIKO KESELURUHAN YANG TIMBUL DARIPADA PENGGUNAAN ANDA TERHADAP PERKHIDMATAN INI.
PENAFIAN INI TIDAK MENGUBAH HAK ANDA SEBAGAI PENGGUNA SETAKAT YANG TIDAK DIBENARKAN OLEH UNDANG-UNDANG YANG TERPAKAI.
HAD LIABILITI. UBER TIDAK AKAN BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP GANTI-RUGI TIDAK LANGSUNG, SAMPINGAN, KHAS, GANTI-RUGI TELADAN, HUKUMAN ATAU TURUTAN, TERMASUK KEHILANGAN KEUNTUNGAN, KEHILANGAN DATA, KECEDERAAN DIRI, ATAU KEROSAKAN HARTA YANG BERHUBUNG DENGAN, BERKAITAN DENGAN ATAU KESAN LAIN AKIBAT APA-APA PENGGUNAAN PERKHIDMATAN, WALAUPUN UBER TELAH DINASIHATI MENGENAI KEMUNGKINAN GANTI RUGI TERSEBUT. UBER TIDAK AKAN BERTANGGUNGJAWAB ATAS APA-APA GANTI RUGI, LIABILITI ATAU KERUGIAN YANG TIMBUL DARIPADA PENGGUNAAN ATAU KEBERGANTUNGAN ANDA PADA PERKHIDMATAN ATAU KEGAGALAN ANDA UNTUK MENGAKSES ATAU MENGGUNAKAN PERKHIDMATAN. UBER TIDAK AKAN BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KELEWATAN ATAU KEGAGALAN DALAM PELAKSANAAN YANG TIMBUL DARIPADA PUNCA-PUNCA DI LUAR KAWALAN UBER YANG MUNASABAH. JUMLAH LIABILITI UBER KEPADA ANDA BERKAITAN DENGAN PERKHIDMATAN UNTUK SEMUA GANTI RUGI, KERUGIAN DAN KESAN TINDAKAN TIDAK AKAN SEKALI-KALI MELEBIHI 100 EURO (EUR 100) ATAU JUMLAH YANG SAMA DALAM MATA WANG TEMPATAN.
HAD INI TIDAK BERTUJUAN UNTUK MENGEHADKAN LIABILITI YANG TIDAK BOLEH DIKECUALIKAN DI BAWAH UNDANG-UNDANG YANG TERPAKAI.
Tanggung Rugi. Anda bersetuju untuk menanggung rugi dan melindungi Uber dan pegawai, pengarah, pekerja dan ejen, daripada apa-apa dan segala tuntutan, permintaan, kerugian, liabiliti, dan perbelanjaan (termasuk yuran guaman), yang timbul daripada atau berkaitan dengan: (i) penggunaan Perkhidmatan oleh anda; (ii) kemungkiran atau pencabulan terhadap mana-mana Terma oleh anda; (iii) perkongsian Maklumat Hubungan oleh anda dengan Uber; (iv) penggunaan Uber terhadap Maklumat Hubungan dan Kandungan Pengguna; atau (v) pelanggaran terhadap mana-mana hak pihak ketiga oleh anda.
6. Penyelesaian Pertikaian; Undang-undang Yang Terpakai
Terma ini ditadbir oleh dan ditafsirkan mengikut undang-undang Belanda, tidak termasuk peraturan konflik undang-undang. Konvensyen Vienna mengenai Jualan Barangan Antarabangsa 1980 (CISG) tidak terpakai. Apa-apa pertikaian, konflik atau kontroversi, yang timbul melalui apa-apa cara daripada atau secara meluas berkaitan dengan atau yang berhubung dengan Terma ini, termasuk tetapi tidak terhad kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan kesahannya, pentafsiran atau penguatkuasaannya, hendaklah terlebih dahulu dikemukakan secara mandatori untuk prosiding penyelesaian di bawah International Chamber of Commerce Amicable Dispute Resolution Rules (Peraturan ICC ADR). Jika pertikaian tersebut tidak diselesaikan dalam tempoh 60 hari selepas permintaan untuk Penyelesaian Pertikaian Secara Persahabatan dikemukakan di bawah Peraturan ICC ADR tersebut, pertikaian itu hendaklah secara eksklusif dan akhirnya diselesaikan melalui penimbangtaraan di bawah Peraturan Penimbangtaraan Perniagaan Dewan Antarabangsa (Peraturan Penimbangtaraan ICC). Peruntukan Peraturan ICC Penimbang Tara Darurat adalah dikecualikan. Pertikaian itu hendaklah diselesaikan oleh seorang penimbang tara yang akan dilantik mengikut Peraturan ICC. Penimbangtaraan hendaklah mengambil tempat di Amsterdam, Belanda. Bahasa penimbangtaraan mestilah bahasa Inggeris.
7. Peruntukan Lain
Notis. Syarikat boleh memberikan notis melalui suatu notis am dalam Perkhidmatan, mel elektronik kepada alamat e-mel dalam akaun anda (jika anda telah membuka akaun), atau melalui komunikasi bertulis yang dihantar melalui pos prabayar atau kurier ke alamat anda yang disenaraikan dalam Akaun anda. Notis tersebut hendaklah dianggap telah diberikan apabila tamat tempoh 48 jam selepas penghantaran melalui mel atau pos (jika dihantar melalui pos prabayar atau kurier) atau 12 jam selepas penghantaran (jika dihantar melalui e-mel). Anda boleh memberikan notis kepada Uber, dan notis itu dianggap telah diberikan apabila telah diterima Uber, pada bila-bila masa melalui mel kelas pertama, pos prabayar atau kurier kepada Uber, Untuk Perhatian: Notis Pengguna Uber Dost - Legal, Vijzelstraat 68, 1017 HL Amsterdam, Belanda.
Umum. Anda tidak boleh menyerah hak Terma ini tanpa kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada Uber. Uber boleh menyerah hak Terma ini tanpa kebenaran anda kepada: (i) anak syarikat atau ahli gabungan; (ii) pemeroleh ekuiti, perniagaan atau aset Uber; atau (iii) pengganti melalui penggabungan. Apa-apa penyerahhakan yang dikatakan melanggar seksyen ini adalah tidak sah. Tiada usaha sama, perkongsian, pekerjaan, atau hubungan agensi wujud antara anda atau Uber akibat Terma ini atau penggunaan Perkhidmatan. Jika apa-apa peruntukan Terma ini diputuskan sebagai tidak sah atau tidak boleh dikuatkuasakan, peruntukan tersebut hendaklah dibatalkan dan peruntukan yang lain hendaklah dikuatkuasakan sejauh mana yang boleh di bawah undang-undang. Kegagalan kami untuk menguatkuasakan apa-apa hak atau peruntukan dalam Terma ini tidak akan menyebabkan suatu penepian terhadap hak atau peruntukan tersebut melainkan diakui dan disetujui oleh Uber secara bertulis.
No comments:
Post a Comment
Terima kasih kerana meninggalkan ulasan anda di sini.
Semoga kita akan bertemu lagi nanti.
insyaAllah.
aamiin.