Mati pucuk atau erectile dysfunction adalah sebuah keadaan dimana zakar seseorang lelaki tidak dapat menegang ( penile erection ) ketika terlibat dengan aktiviti seks dan ia turut merujuk kepada keadaan dimana seseorang lelaki tidak dapat mengekalkan ketegangan zakar atau alat kelaminnya ketika melakukan hubungan seksual.
Mati pucuk turut dikenali sebagai lemah tenaga batin dan ianya merupakan satu penyakit yang bersifat semula jadi.
Integrasi antara sistem saraf pusat, sistem saraf periferi, sistem pembuluh darah dan hormon akan menyebabkan ketegangan zakar lelaki dan sebarang perkara yang menyebabkan salah satu sistem ini tidak berfungsi secara normal akan memberi kesan terhadap zakar lelaki seperti masalah ereksi, orgasm atau ejakulasi.
Perlu diingati, mati pucuk tidak merujuk kepada keadaan mandul atau ketidakupayaan seseorang untuk memancutkan air mani atau berejakulasi, namun keadaan-keadaan tersebut boleh berkait rapat dengan kedaan mati pucuk.
Kelompok yang berisiko mendapat mati pucuk
Penyelidikan turut menyatakan bahawa dalam setiap 10 orang lelaki, 4 daripadanya mempunyai masalah mati pucuk ketika berusia 40 tahun dan ia akan bertambah teruk seiring dengan peningkatan umur.
Kajian bebas oleh Pfizer pula mendapati bahawa seorang daripada setiap lima orang lelaki di Malaysia mengalami permasalahan mati pucuk.
Antara mereka yang berisiko tinggi adalah mereka yang mengalami berat badan berlebihan atau obesiti, perokok, tidak aktif secara fizikal dan mereka yang mengalami masalah kesihatan kronik seperti darah tinggi, kencing manis, hiperkolestrolemia (kandungan kolesterol yang tinggi dalam darah) dan sindrom metabolisme.
Kriteria-kriteria mati pucuk
- Zakar mengalami kesukaran untuk menegang ketika melakukan hubungan seksual
- Zakar mengalami kesukaran untuk mengekalkan ketegangan atau ereksi sehinggalah pada akhir hubungan seksual
- Zakar terlihat tidak mempunyai ketegangan yang ketara atau memuaskan
- Tanda-tanda tersebut berlaku secara berterusan dalam tempoh selama 6 bulan
- Tanda-tanda tersebut menjadikan seseorang individu mengalami tekanan yang ketara
Punca Mati Pucuk
Secara umumnya, mati pucuk terjadi apabila terdapatnya halangan yang menyebabkan pengurangan aliran darah atau aliran darah yang tersekat yang menyebabkan gangguan kepada zakar untuk menegang.
Ini memberi kesan kepada keadaan zakar yang tidak boleh menegang ke tahap yang sepatutnya dan memuaskan.
Terdapat juga pelbagai faktor lain yang boleh menjejaskan keupayaan seorang lelaki untuk mengalami ereksi zakar. Antaranya:
- Gangguan fikiran serta emosi: gangguan kesihatan mental seperti tekanan, kemurungan, kegelisahan dan gangguan stres selepas trauma (PTSD). Masalah rumahtangga dan kurang rangsangan daripada pasangan turut termasuk dalam gangguan fikiran dan emosi.
- Masalah saraf: ini termasuklah kecedaraan pada bahagian saraf tunjang, angin ahmar, strok, epilepsy, alzheimer dan slipped disc
- Masalah salur darah dan penyakit kronik: kencing manis, tekanan darah tinggi, kegagalan hati, penyakit buah pinggang, atherosclerosis dan kerosakan pembuluh darah daripada rawatan kanser prostat dan radioterapi
- Kecederaan pada zakar
- Kekurangan dan ketidakstabilan hormon: ini termasuklah kekurangan hormon testosteron, endorphin dan penyakit berkaitan thyroid
- Tabiat yang merisikokan kerosakan saraf dan saluran darah: tabiat yang memberi kesan kepada mati pucuk termasuklah merokok dan pengambilan minuman beralkohol secara melebihi had yang sepatutnya
- Penyalahgunaan dadah: ganja dan kokain
- Faktor kesan ubat-ubatan: ubat-ubatan seperti Amphetamines, Barbiturates, ubat jenis beta-blocker bagi tekanan darah tinggi, anti depresi dan anti psychotic turut memberikan kesan terhadap mati pucuk
- Faktor peningkatan umur individu: penyakit Parkinson boleh mengurangkan hormon Dopamine berkurangan yang akhirnya akan menyebabkan gangguan kepada pengekalan ketegangan zakar
Kesan Mati Pucuk Kepada Individu
Mati pucuk memberikan perasaan rendah diri dan malu kepada seseorang individu lelaki yang kemudiannya akan memberikan kesan terhadap psikologi individu.
Masalah gangguan psikologi seperti tekanan dan kemurungan yang akan menambah keterukan kepada keadaan mati pucuk tersebut. Perkara seperti ini sememangnya akan menjejaskan hubungan intim antara pasangan.
Apa yang perlu anda lakukan sekiranya mempunyai tanda-tanda mati pucuk?
Langkah awal yang perlu dilakukan adalah berjumpa dengan doktor perubatan terlebih dahulu bagi mengenalpasti gejala dan mendapatkan khidmat nasihat yang sepatutnya daripada pengamal perubatan yang bertauliah.
Elakkan daripada mengambil sebarang jenis ubat-ubatan yang didakwa sebagai ubat kuat yang banyak terdapat di pasaran.
Sebahagian besar daripadanya adalah ubat-ubatan tidak berdaftar seperti produk Nan Bao Capsule yang terkandung racun berjadual sildenafil dan tadalafil yang boleh membahayakan nyawa pengguna.
Pemeriksaan doktor adalah penting bagi memastikan risiko serangan jantung sebelum memulakan apa-apa rawatan ubat kepada penghidap mati pucuk.
Ini memandangkan ubat bagi rawatan mati pucuk boleh menyebabkan penurunan darah secara mendadak sekiranya diambil bersama dengan ubat nitrate bagi rawatan jantung.
Alternatif Bagi Rawatan Mati Pucuk
Secara umumnya, rawatan bagi mengatasi masalah mati pucuk boleh dikategorikan kepada tiga; rawatan melalui penggunaan ubat-ubatan, rawatan melalui penggunaan alat dan pembedahan.
Apakah Cara untuk Mencegah Mati Pucuk ?
Terdapat beberapa langkah pencegahan yang bersesuaian dan berkesan dalam mengelakkan mati pucuk daripada berlaku.
Antaranya melalui pengubahsuaian gaya hidup kearah yang lebih sihat.
Semua individu dinasihatkan untuk melakukan senaman atau aktiviti fizikal dengan lebih kerap, mengamalkan diet pemakanan secara sihat, menguruskan stres atau tekanan dengan baik, menghentikan tabiat merokok selain memastikan tekanan darah dan penyakit kencing manis agar lebih terkawal.
Penyalahgunaan dadah terlarang seperti kokain dan ganja beserta pengambilan minuman beralkohol secara berlebihan hanya akan menjejaskan aliran darah ke bahagian zakar lelaki.
Disebabkan itu, hormon akan turut berkurangan dan akhirnya menyebabkan mati pucuk kepada seseorang individu.
No comments:
Post a Comment
Terima kasih kerana meninggalkan ulasan anda di sini.
Semoga kita akan bertemu lagi nanti.
insyaAllah.
aamiin.